Jangan Jadi Sempurna

Kata Umar Al-Khattab. Benarlah kata Khalifah Al-Khattab, “Apakah lagi tinggal selepas kesempurnaan kalau tidak kekurangan?” Beliau melafazkan kata-kata itu selepas mendengar khutbah penghabisan Nabi Muhammad SAW yang juga menandakan sempurnanya agama Tuhan yang diturunkan melalui Nabi Muhammad SAW. Apa yang dimaksudkan oleh Umar sebagai kekurangan adalah tugas Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Tuhan sudah selesai. Umar mengetahui ia adalah tanda jelas umur Nabi Muhammad SAW sudah tidak lama lagi.


Orang sempurna menarik? Kita selalu mahu menjadikan diri kita sempurna, supaya orang lain suka pada kita dengan melihat kesempurnaan kita. Namun apa yang berlaku adalah mereka suka pada kita kerana ketidaksempurnaan ataupun kekurangan kita. Percaya aaupun tidak? Lebih baik kita percaya. Contohnya sekiranya kita merasakan pakaian yang kita pakai itu cantik dan menarik kerana ia adalah rekaan fesyen terkini. Adakalanya orang lain nampak kita pelik dan janggal. Apa yang kita nampak sebagai sempurna dalam diri kita yang diharapkan sebagai faktor yang bakal menjadikan orang lain tertarik dengan diri kita, tetapi sebaliknya kekurangan diri kita yang menjadi daya penarik bukannya kelabihan kita.

Contohnya sekiranya kita seorang yang berpendidikan tinggi dan pandai. Kita merasakan orang melihat kita sebagai seorang menarik kerana faktor pendidikan kita. Namun sebaliknya kita dilihat menarik kerana kita seorang yang suka merendah diri.

Azman mengejar cinta Ain. Azman dan Ain bersama-sama menyertai kelab Adventure di universiti tempat mereka belajar. Azman berusaha memikat hati Ain sekian lama. Pelbagai cara Azman lakukan bagi menampilkan diri sebagai seorang yang menarik pada pandangan Ain. Pada hujung minggu, mereka bersama 40 ahli persatuan pergi mendaki Gunung Nuang. Sepanjang perjalanan Azman sentiasa cuba mendekati Ain tetapi semakin Azman mendekati Ain, semakin naik menyampah Ain pada Azman. Semasa masak bersama di tapak perkhemahan, Azman buat-buat rajin dengan membasuh semua bekas makan dan beria-ia menyalakan api. Tapi Ain buat tidak faham kerana dia tahu Azman sahaja buat rajin semata-mata supaya memikat hatinya, tetapi hatinya langsung tidak terpikat.

Kesian Azman. Selepas siap memasak Azman tertidur kerana terlalu letih sambil dia terbaring di sisi khemahnya. Ain kebetulan lalu di situ selepas mengemaskan perkakas masak. Ain melihat Azman sedang tertidur. Azman dengan sempoinya tidur dengan mulut terbuka sedikit, tangannya tergarugaru badannya yang sekali-sekala digigit nyamuk hutan sambil memeluk beg khemahnya. Tiba-tiba terdetik pada hatinya suatu yang menarik tentang Azman yang amat memikat hatinya iaitu cara Azman tidur! Hati kecilnya berkata, “Alamak, cutenya cara dia tidur.” Padahal kalaulah Azman tahu Ain sedang memerhatikan dia tidur mesti dia malu kerana pada Azman caranya tidur boleh membuatkan Ain tidak suka dengannya hanya sampai bila-bila, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Selepas itu Ain sudah jatuh hati dengan Azman secara tiba-tiba dan perhubungan menjadi lebih intim lagi. Tetapi Azman merasakan Ain suka padanya kerana sifat rajinnya yang ditunjukkan semasa aktiviti perkhemahan itu. Azman hanya mengetahui ‘sebab sebenar’ mengapa Ain boleh jatuh hati dengannya selepas mereka mendapat anak nombor dua!

Faizal dan Azizah. Faizal adalah jejaka yang tampan. Bukan sahaja ketampanannya diakui oleh wanita bahkan rakan lelaki juga. Azizah sebagai kekasih Faizal mencintainya sepenuh hati. Apabila satu hari Faizal bertanya kepada Azizah apakah yang menyebabkan dia jatuh hati kepadanya. Jawapan Azizah mengejutkan Faizal. Dia jatuh hati padanya kerana Azizah suka mendengar suara Faizal menjawab telefon ketika waktu subuh. Rupanya ‘suara bangun tidur’ Faizal yang menjadi pengikat hati Azizah bertahun-tahun dan bukannya ketampanan wajahnya.

Tuan Das dan Puan Das. “Saya tidak mengahwini suami saya (Tuan Das) kerana dia seorang peguam yang berjaya,” kata Puan Das sambil suaminya menjeling. “Bahkan semasa kami berjumpa dia baru sahaja menghabiskan peperiksaan CLPnya (Certificate of Legal Practice)” jelas Puan Das. “Kami dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Semasa turun di perhentian Seremban saya melihat seorang lelaki muda India sedang bermain-main dengan kucing sambil bercakap-cakap dengan kucing itu. Rakan saya kata budak lelaki itu mungkin ada masalah mental sebab itu dia bermain dengan kucing. Tetapi saya terpikat dengan sikap penyayang lelaki itu dengan seekor kucing yang dia jumpa dalam persinggahannya. Kemudian saya menyerahkan nota kecil beserta nombor telefon rumah saya kepadanya,” jelas Puan Das bagaimana dia jatuh cinta dengan suaminya Tuan Das.

Jadilah diri kita yang sebenar. Kita takut menjadi diri kita sebenar atas banyak sebab. Antaranya kita takut diri kita tidak ada sifat yang menarik pada pandangan orang lain. Maka kita memperbaiki diri kita. Ia adalah satu langkah yang bijak dan bagus. Tetapi perlu diperhatikan sebab orang mencintai dan terpikat kepada kita bukan didasarkan dengan perkara yang kita jangka menjadi sumber supaya mereka jatuh cnta. Ingat jangan menjadi terlalu sempurna. Dedahkan sifat dan peribadi kita yang sebenar kerana hanya kesempurnaan yang menjadikan kekurangan dan kekurangan yang membawa kepada kesempurnaan.

Dato’ Dr Mohd Fadzilah Kamsah & Ahmad Naim Jaafar.


No comments:

Post a Comment